MACHANG - Kelibatnya cukup sinonim dengan Umno, biarpun di mana program diadakan, asalkan anjuran Umno, dia pasti ada.

Menariknya, dia dikenali semua orang khususnya penduduk daerah ini dan Kelantan, amnya.

Berseluar jeans, suka memakai baju T merah dan berjaket, Mohd Fuad Abu Bakar, 60, ramah disapa dengan panggilan Husin Gek Gek atau Husin Umno dalam kalangan masyarakat di sini.

Orangnya cukup mesra malah cakna kepada orang-orang dikenalinya.

Pendek kata, siapa tidak sihat, siapa masuk hospital dan siapa yang meninggal di sekitar Machang ini dia tahu, malah dia akan menyalurkan maklumat tersebut kepada orang lain sebagai makluman bersama.

Berasal dari Kampung Pangkal Meleret di sini, Husin selesa ke mana sahaja dengan bermotosikal dan tidak pernah menyusahkan orang lain bagi memenuhi minat dan kecintaan kepada Umno sekalipun terpaksa berkelana beratus kilometer jaraknya.

Malah, dia sanggup bermotosikal sendirian hingga ke Perlis bagi sama-sama menjayakan pilihan raya kecil di sana dan menariknya, motosikalnya itu menjadi pengangkutan utama pula kepada rakan-rakan yang lain untuk masuk ke kampung-kampung bagi tujuan berkempen.

“Mereka ke sana naik bas dan kereta, jadi apabila nak masuk kampung mereka perlukan motosikal untuk mudah bergerak dan motosikal saya menjadi pilihan mereka.

“Saya tak kisah, saya akan bawa sesiapa sahaja. Motosikal saya dah jadi macam kenderaan awam pula di sana dan saya seronok dapat berbakti kepada Umno,” ceritanya tersenyum.

Husin berkata, dia mula aktif dalam aktiviti parti itu sejak berusia 20-an dan akan menyertai program-program yang diadakan tidak kira di daerah ini atau daerah berdekatan.

Motosikal yang menjadi peneman setia Husin walau ke mana dia pergi.

Katanya, jika mendapat tahu ada pemimpin besar yang datang ke Kelantan, dia pasti akan ke lokasi tersebut dengan bermotosikal tidak kira di mana, dalam apa cuaca, hujan atau panas sekalipun.

“Dulu saya juga aktif menulis dan melukis kain-kain rentang tentang program yang diadakan dan juga sering dipertanggungjawabkan untuk menjadi penghantar surat kepada  pemimpin-pemimpin akar umbi tentang pelbagai perkara termasuk mesyuarat.

“Namun kini, semuanya telah berubah apabila teknologi baru diperkenalkan, kain rentang dicetak menggunakan pencetak dan surat makluman dihantar melalui sosial media tapi kalau khidmat saya diperlukan, saya tetap membantu,” katanya.

Tambah Husin, minatnya kepada Umno adalah kerana keyakinan dan kepercayaannya kepada parti itu untuk membela nasib orang Melayu.

Katanya, biarpun pemimpin Umno silih berganti sepanjang penglibatannya sejak 40 tahun lalu, kesetiaannya tetap kekal.

Tidak menolak pandangan sinis masyarakat, Husin berkata, dia tidak pernah mengambil kira kata-kata orang biarpun ada yang mengeluarkan kata-kata yang kurang sedap dan memandang rendah tentang dirinya.

Katanya, biarpun ada menggelarnya dengan panggilan Gek Gek selepas namanya (Husin Gek Gek) namun dia tidak mengambil hati.

Tambahnya, nama Husin cukup sinonim dengan orang Melayu dan panggilan tersebut mungkin bertujuan membezakannya dengan Husin yang lain.