KUALA LUMPUR - Bekas orang kuat Umno, Tan Sri Rafidah Aziz yang menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu enggan dikaitkan dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Memetik laporan Berita Harian, bekas Ketua Wanita Umno itu dikatakan berang apabila namanya dikaitkan dengan Mustapa.

“Jangan letakkan saya dalam satu kumpulan yang sama dengan Tok Pa (Mustapa). Saya Rafidah Aziz. Saya putuskan apa saya nak buat. Saya tak ikut orang.

“Saya tak kisah apa mereka nak buat, nak lompat katak atau apa saja. Saya bukan nak sertai Bersatu kerana ada orang bodoh nak sertainya,” katanya dalam nada tegas ketika ditemui selepas menghadiri Simposium Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah Malaysia (MAICSA) di sini, hari ini.

Mustapa yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyertai Bersatu pada 26 Oktober lalu selepas mengumumkan keluar daripada Umno pada 18 September.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Tok Pa pilih Bersatu ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Rafidah tak kisah dipecat Umno ]

Rafidah bersama dua bekas menteri, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim dipecat Umno pada 5 Mei lalu kerana menyokong PH.

Dalam pada itu, Rafidah akui telah memaklumkan hasrat menyertai parti peribumi itu kepada Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mahu sertai Bersatu Saya dah beritahu Perdana Menteri namun buat masa ini saya belum sempat untuk mendapatkan dan mengisi borang keahlian.

“Pada saya, di mana hati kita berada itu lebih penting. Menandatangani borang itu hanya simbolik (menyertai parti),” katanya.

Beliau turut menafikan mengejar jawatan sebaliknya sokongan terhadap PH pada PRU14 lalu kerana merasa ada keperluan menukar kerajaan.

“Perdana Menteri kenal saya. Jika beliau pancing saya dengan apa saja, saya akan berundur. Jangan cuba rasuah saya dengan apa-apa pun.

“Memancing dengan jawatan itu rasuah dan berkait dengan kronisme. Tidak mungkin sama sekali. Saya lakukan (bantu PH) kerana negara ini perlukan perubahan. Saya sudah 75 tahun. Saya dah bersara. Cukup cukuplah,” katanya.