• Liow Tiong Lai Liow Tiong Lai
1 /

KUALA LUMPUR - MCA telah menyerahkan senarai penuh calonnya kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dan kini hanya menunggu keputusan akhir daripada Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kita yakin calon yang kita utarakan itu adalah calon boleh menang, mempunyai pengalaman, mempunyai kaliber dan komitmen yang tinggi memberi khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2013 anjuran Resorts World Genting di sini hari ini.

Majlis itu turut meraikan 500 kanak-kanak kurang bernasib baik dan warga emas antaranya dari Rumah Charis, House of Megaways, Pusat Jagaan Taman Megah, NS Care Gemilang, Yayasan Sunbeams Home dan Rumah Faith.
 
Ditanya sama ada terdapat pertambahan kerusi MCA bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang, beliau berkata ia terpulang kepada pimpinan BN pusat.

"Terpulang dari segi perbincangan pusat pimpinan tertinggi, kerana yang penting adalah 'winnable candidate' tidak kira daripada parti mana, asalkan daripada parti komponen BN dan boleh menang dia akan mewakili kerusi itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata tindakan pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack mengancam untuk membakar loji nadir bumi Lynas Corp di Gebeng, hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah.

"Ia adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan emosional yang akan menyebabkan banyak masalah kepada negara, tetapi saya percaya orang yang waras tidak akan mengikuti nasihat itu.

"Kerajaan akan mengendalikan, menerangkan dan memastikan keselamatan rakyat mengenai Lynas, jangan ambil undang-undang di tangan sendiri dan tiada sesiapa yang boleh melepasi undang-undang," katanya.

Semalam, Wong memberitahu portal berita The Malaysian Insider bahawa mereka (Himpunan Hijau) akan membakar kilang berkenaan sekiranya kerajaan yang baharu
dipilih tidak menutupnya selepas pilihan raya umum 2013. - Bernama