SHAH ALAM - Kesemua ahli parti akan menyokong jika Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan sebagai presiden parti.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (Harapan) yang juga ahli PKR, Datuk Saifuddin Abdullah percaya Anwar akan menambah lagi kekuatan dalam parti pakatan itu.

“Kita yakin kehadiran beliau akan menambahkan kekuatan. Sekarang ini pun beliau sempat hadir sekali dua mesyuarat Majlis Presiden dan sebagainya. Kita dapat merasakan kehadiran itu dirasai,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas program Bicara Minda : Malaysia Baharu bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini. Saifuddin berkata buat masa ini, kesihatan Anwar adalah lebih penting.

“Paling mustahak kita doakan kesihatan beliau. Sekarang beliau di luar negara sedang melalui proses pemulihan.

“Kita berdoa agar beliau segera sembuh dan dapat memimpin PKR dan bersama-sama memimpin Harapan,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Harapan dan Angkatan Muda PKR mencadangkan agar Anwar bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang.