AMPANG - PKR Selangor  bersedia menghadapi satu lagi pilihan raya kecil di negeri ini sekiranya mana-mana kerusi dikosongkan untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun selaku penyandang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti beliau belum menerima sebarang keputusan rasmi parti berhubung perkara berkenaan.

"Apapun kita bersedia.. terpaksa bersedia dan tiada jalan keluar. Namun selaku pimpinan PKR, saya belum lagi diberi maklumat berkenaan dengan keputusan... mungkin perbincangan strategi telah dibuat tetapi keputusan rasmi saya belum pasti.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukan di Pandan, tunggu saya umum esok']

"Mungkin malam ini atau malam esok saya tidak pasti lagi kerana malam ini ada perjumpaan. MPP akan dipanggil tapi biasanya sesetengah proses itu akan dilakukan untuk kita menilai sejauh mana strategi itu direncanakan," katanya ditemui pada Majlis Tayangan Amal Filem Munafik 2, di sini, hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden Pas merangkap Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan, Datuk Iskandar A Samad mengeluarkan kenyataan telah mengarahkan jentera parti itu supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRK di kawasan itu.

Kenyataan Iskandar itu dipercayai merujuk kepada kemungkinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal mengosongkan kerusi Pandan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding PRK.

Bagaimanapun Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, memaklumkan tiada arahan persediaan bagi menghadapi kemungkinan PRK dikeluarkan di peringkat negeri buat masa ini dan menyifatkan kenyataan Iskandar hanya merujuk kepada persediaan dalam kawasan.