SHAH ALAM - Armada Bersatu menyambut baik keinginan bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz untuk menyertai Bersatu.

Exco Armada Bersatu, Hannaan Khairy berkata, Bersatu memerlukan lebih ramai figura-figura politik untuk bersama mereka, yang dilihat tidak cenderung ke arah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Tun Razak .

Katanya, dengan kehadiran  Rafidah ke dalam Bersatu dilihat akan membantu menguatkan lagi parti itu serta dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan rakyat untuk menyertai Bersatu terutamanya dalam kalangan wanita.

"Selamat datang Tan Sri Rafidah Aziz ke Bersatu. Kami dengan hati terbuka menerima kehadiran Tan Sri," katanya.

Rafidah hari ini menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu.

Rafidah akui telah memaklumkan hasrat menyertai parti peribumi itu kepada Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun belum sempat mengisi borang keahlian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sertai Bersatu: Jangan kaitkan dengan Tok Pa]

Mengulas lanjut katanya, kehadiran Rafidah ke dalam Bersatu akan memberi impak positif kepada parti berkenaan.

"Siapa tidak kenal wanita bernama Rafidah Aziz ini? Orangnya tegas lagi berani, bekas pimpinan dalam kabinet ayahanda Tun satu ketika dulu, melakar nama Malaysia di persada dunia, juga dikenali sebagai 'Iron Lady'.

"Kelantangannya ketika berada dalam kabinet Tun Dr Mahathir satu ketika dulu membuatkan beliau disegani. Beliau juga lantang dan tegas membawa isu wanita lantas membuatkan beliau menjadi idola banyak pihak terutama golongan wanita pada ketika itu," katanya.

Rafidah bersama dua bekas menteri, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim dipecat Umno pada 5 Mei lalu kerana menyokong PH.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Tok Pa pilih Bersatu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Rafidah tak kisah dipecat Umno]