• Saingan kerusi Dun Saingan kerusi Dun
  • Saingan kerusi Parlimen Saingan kerusi Parlimen
1 /

KUALA LUMPUR - Sejumlah 357 calon akan bertanding bagi merebut 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada pilihan raya umum 5 Mei ini, jumlah terbanyak sejak 2004.
   
Daripada jumlah itu, 95 orang akan bertanding di kerusi Parlimen berbanding 70 pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, manakala bilangan calon untuk kerusi DUN bertambah daripada 200 kepada 262 orang.
   
Pada 2004, sebanyak 198 orang bertanding kerusi DUN manakala 54 bertanding kerusi Parlimen.
   
Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon di kesemua kerusi parlimen dan DUN akan menghadapi saingan daripada calon Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah yang bertanding di 21 kerusi, PKR (19), Bebas (15), Parti Maju Sabah (SAPP)(lapan), DAP (empat), Pas (dua) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita)(satu).
   
Bagi pertandingan kerusi DUN pula, Star dan Bebas masing-masing 49 calon, PKR (43), SAPP (41), Pas (sembilan), DAP (tujuh), Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama)(tiga) dan Kita (satu).

Selepas berakhirnya proses penamaan calon hari ini, Parlimen Kalabakan bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara calon BN Datuk Abdul Ghapur Salleh dengan masing-masing seorang dari PAS dan Star serta empat calon Bebas.
   
Pada PRU12 Abdul Ghapur menang tanpa bertanding.
   
Daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sebanyak 12 kerusi bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.
   
Satu-satunya kerusi yang menyaksikan saingan satu lawan satu ialah di Parlimen Sandakan apabila penyandang Datuk Liew Vui Keong dari BN bakal ditentang calon DAP Wong Tien Fatt.
   
Antara kerusi Parlimen yang dianggap panas di Sabah pada pilihan raya kali ini ialah Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Penampang, Beaufort dan Tuaran.
   
Pada 2008, BN menang 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN. - Bernama