KUALA LUMPUR -  Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didesak untuk segera menyatakan hala tuju parti supaya tiada lagi pemimpin mahupun ahli meninggalkan Umno.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, parti mendesak Ahmad Zahid untuk mengambil langkah-langkah drastik bagi mengembalikan semangat ahli Umno agar mereka tidak melompat ke parti lain sewenang-wenangnya.

“Dalam mesyuarat Mjlis Tertinggi (MT) dan ketua Umno bahagian bersama Presiden tadi kami suarakan rungutan dan kebimbangan akar umbi.

“Dengan tujuan supaya Presiden mengambil langkah-langkah drastik untuk mengembalikan semangat ahli Umno agar mereka tidak meninggalkan parti dan berhijrah ke parti lain,” katanya ketika ditemui media di lobi Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Sementara itu, Jamal juga memaklumkan, pimpinan Umno mendesak agar Presiden Umno bertindak segera dan melakukan sesuatu.

Katanya, susulan itu, Ahmad Zahid berjanji akan melakukan sesuatu, kita jangkakan mungkin akan diumumkan dalam Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung hujung bulan ini.

“Kami tidak tuntut lebih-lebih, kami sedar Umno kini parti pembangkang.

“Cuma diharapkan Presiden dapat menyatakan hala tuju parti dan mengembalikan keyakinan akar umbi kepada Umno agar mereka tidak meninggalkan parti,” ujarnya.