ALOR SETAR - Spekulasi beberapa Adun Pas bakal meninggalkan parti itu semakin kencang diperkatakan selepas Ketua Pembangkang Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah mengambil keputusan berani berhijrah kepada Bersatu.

Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang turut digelar ‘YB harumanis’ gara-gara kurang senada dengan pendirian parti tidak terkecuali terkena tempiasnya.

Gesaan netizen di laman Facebook turut menyatakan sokongan kepada Mohd Nasir seandainya mahu mengikut jejak Amiruddin.

Bagaimana pun, Mohd Nasir berkata, biar apa sahaja telahan mahupun label diberikan, beliau tetap memainkan peranan mengukuhkan pembangkang.

“Biar apa orang nak kata, label saya, saya hanya mahu kita (pembangkang) ke hadapan dan bersatu jatuhkan kerajaan BN. Saya tak gopoh buat keputusan dan harap pimpinan atasan faham pendirian saya,” katanya tanpa mahu ulas isu lompat parti.

Menurutnya, pertimbangan sedang dilakukan supaya pembangkang berada di kedudukan terbaik untuk melawan BN pada PRU14.

"Isu baiah tiada kaitan langsung. Semua keputusan untuk pastikan kejayaan parti. Persidangan Dun Kedah menyaksikan kesatuan antara parti pembangkang dapat dicapai dalam isu rakyat, itu bukan lakonan dan boleh dilakukan, bermakna masih ada peluang untuk penyatuan itu,” katanya.

Mohd Nasir berkata, Pas mempunyai kekuatan di Kedah namun diharap parti itu mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain dalam memastikan berlaku pertandingan satu lawan satu.

“Pertandingan tiga penjuru hanya akan menjadi senjata untuk menyambung hayat BN. Inilah cabaran besar yang saya hadapi dalam mengusahakan idea ini kepada parti. Satu lawan satu tidak bermakna gabungan antara pembangkang, ia pernah berlaku pada PRU 1990, sedangkan Pas tiada kerjasama dengan DAP,” katanya.

Menurutnya, bagaimana pembangkang mahu menumbangkan BN jika undi pembangkang berpecah dengan adanya pertandingan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.

“Simulasi terbaik yang boleh dijadikan rujukan adalah PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” katanya.

Mengulas dakwaan beliau dan Amiruddin dikatakan melobi Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi supaya diberi peluang bertanding semula atas tiket Pas, seperti didakwa seorang pimpinan Pas Kedah dalam ceramahnya, Mohd Nasir tegaskan, ia fitnah.

“Macam-macam versi, ada kata kami dipanggil dan dipujuk bertanding atas tiket Pas, ada kata kami jumpa Ahmad Fakhruddin untuk mengajar kepimpinan Pas Kedah. Semua dakwaan itu karut,” katanya.

Menurutnya, pertemuan minum petang di Kompleks Pas Kedah, Jumaat lalu, antara Ahmad Fahkhruddin, Musodak Ahmad (Setiausaha Perhubungan), Sobri Osman (Bendahari) dan Amiruddin berlangsung dalam suasana harmoni.

“Kami sekadar berkongsi pandangan masing-masing tentang hala tuju parti, tak timbul isu minta jadi calon Pas PRU14. Pertemuan itu mesra dan tiada unsur ugutan mahupun wujud ketegangan,” katanya.