LABIS – Ketua Penaja Bersatu Bahagian Ledang, Solihan Badri sedia menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed yang keluar Umno, kelmarin.

Solihan yang juga Adun Tenang berkata, tawaran itu mungkin dianggap tidak logik oleh sesetengah pihak namun beliau menyifatkan ia sebagai bukti kesediaan dan sokongannya kepada bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu menyertai Bersatu.

“Saya sedia menawarkan kedudukan Ketua Bersatu Bahagian Ledang kepada Tok Pa sekiranya pengundi dan ahli Bersatu Jeli sudah mempunyai ketua bahagian sendiri.

“Saya berharap Tok Pa akan dapat meneruskan khidmatnya kepada kerajaan secara aktif kerana rakyat memerlukan tokoh yang berkredibiliti seperti beliau bagi membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar sewaktu Mustapa menjadi Menteri Kewangan Kedua, kepimpinan tertinggi Bersatu juga perlu memberi perhatian khas jika beliau memohon menjadi ahli dan tidak perlu membiarkannya menjadi ahli Parlimen bebas terlalu lama.

“Saya berharap Tok Pa akan bergerak atas platform parti Bersatu kerana perjuangan parti ini sesuai dengan sikap beliau yang jujur, gigih dan beramanah sepanjang saya berkhidmat dengannya dahulu.

Solihan yang juga Adun Tenang berkata, selain komitmen dan kualiti sebagai bekas menteri kabinet sewaktu pemerintahan BN, Mustapa tidak pernah memberi komen negatif atau memperlekeh PH terutama Bersatu sebelum ini.

“Beliau seorang yang profesional dalam tugasnya sebagai menteri kabinet, tetapi mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khianat kepada anggota kabinet yang jujur seperti Tok Pa.

“Sebab itu saya sanggup beri jawatan saya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Ledang kepada Tok Pa sekiranya beliau bersetuju menyertai Bersatu kerana saya tahu kebolehan Tok Pa boleh dimanfaatkan untuk Bersatu dan PH,” katanya.

Selasa lalu, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Keputusan tersebut dibuat setelah beliau membuat beberapa pemerhatian terhadap landskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno]