KUALA LUMPUR - Golongan wanita hari ini berani bangkit menyuarakan bantahan mereka terhadap politik kotor di negara ini.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, beliau juga merupakan mangsa kepada politik kotor yang semakin berleluasa kini.

"Berdirinya saya di sini kerana saya juga merupakan mangsa kepada politik kotor.

"Saya pernah ditahan ISA kerana didakwa melarang azan di satu masjid, pemimpin pernah dilemparkan kerusi ketika memberikan ceramah.

"Kita tidak mahukan keganasan sebegini dalam politik tanah air," katanya ketika berucap pada perhimpunan 'Wanita Bantah Politik Kotor' di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut serta, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menjelaskan kelewatannya ke perhimpunan itu, Teresa berkata, beliau perlu menjawab surat kepada ROS  yang meminta DAP mengadakan pemilihan semula.

"Ini semua ternyata merupakan politik kotor dari pihak parti lawan, justeru saya mengharapkan kita dapat bangkit dan berikan kesedaran pada orang ramai mengenai perkara ini," katanya.