TEMERLOH - Walaupun bakal bertanding pada PRU14 nanti, bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad tetap menjalani rutin kehidupannya seperti biasa menjual anak-anak pokok hibrid di Pekan Sehari di sini.

Ditemui ketika berniaga di lokasi tersebut kelmarin sambil dibantu anaknya, Khaidir berkata, ramai pelanggan yang berkunjung ke tapak niaganya memberikan respons positif terhadap keputusannya bertanding atas tiket Bebas bagi Parlimen Temerloh pada PRU14 ini.

“Ramai yang menyuarakan sokongan dan ini menguatkan lagi semangat saya untuk bertanding kali ini.

“Saya akan melakukan kempen rumah ke rumah selepas ini selain memasang poster. Tetapi bukanlah dalam jumlah besar kerana belanja kempen saya tidak sebesar orang lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Calon berusia 56 tahun yang juga anak jati Pahang dari Kampung Lebak itu mengakui keluarganya memberikan sokongan penuh atas keputusannya bertanding kali ini.

Malah, Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) itu turut menafikan keputusannya bertanding untuk memecahkan undi berikutan parlimen itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu BN, Pas, Amanah dan beliau sendiri.

“Bukan kerana nak pecahkan undi sebaliknya saya mencatatkan satu anjakan paradigma. Rasanya belum ada yang berani bercakap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini.

“Saya juga akan mengunakan peluang berniaga di sini untuk berkongsi visi bersama pengundi,” katanya yang telah mengusahakan nurseri hibrid di daerah ini membabitkan keluasan 1.6 hektar sejak 2015.