JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimaklumkan terlebih dahulu mengenai hasrat bertanding di Parlimen Port Dickson.

Menurutnya, beliau juga mahu Dr Mahathir faham bahawa dirinya mahu kembali dalam Dewan Rakyat kerana ia janji sejak Januari lalu.

“Lima bulan sebelum pilihan raya, semua tandatangan. Menang sahaja, bebaskan Anwar dan masuk balik dalam proses politik dan kerajaan.

“Saya tunggu empat bulan,  saya bukan gopoh dan saya beritahu kepada Tun Mahathir, You jaga negara I masuk parlimen. I jaga parlimen biar ada reform parlimen yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bicara Maal Hijrah Bersama Anwar Ibrahim di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini, hari ini.

Anwar berkata, tiga minggu lalu beliau juga memaklumkan sedang pilih antara tiga kerusi di Utara, Tengah dan Selatan.

“Apa yang terkejutnya, pasal apa? Pasal apa orang parti kita kata terkejut? Sekarang ini Tun Mahathir okay. Keadilan saya sudah umumkan. DAP sokong, Bersatu sokong, Amanah okay.

“Yang kita sorang dua sibuk kenapa? Sebab itu saya sebut semalam, kita patut satu hati. Yang nak bertanding itu Anwar, sudah beberapa kali dia kena terajang,” katanya.

Beliau berkata, sebab itu dirinya menyatakan secara tegas tidak mahu lagi kenyataan mengarut daripada ahli parti.

“Jangan cabar saya. Kita sudah buat proses, kita sudah buat keputusan. Pemilihan (PKR) ini juga kena sihat, saya tak mahu lagi kenyataan-kenyataan negatif keluar,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dirinya perlu merayu dan bekerja kuat untuk menawan hati serta meraih sokongan pengundi Parlimen Port Dickson.

“Saya tentu cuba akan memberikan khidmat yang baik,” katanya.

Beliau turut memuji penyandang kerusi tersebut, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang meminta untuk bersama sepanjang kempen PRK parlimen itu.

“Dia minta supaya dia bersama saya sepanjang kempen, kalau boleh dia dilantik sebagai wakil calon saya di Port Dickson,” katanya.