IPOH - Peningkatan 50 peratus calon wanita yang ditampilkan BN Perak pada PRU14 ini satu pengiktirafan membanggakan.

Ketua Wanita BN Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, berbanding pilihan raya lalu yang menampilkan hanya tujuh calon, kali ini BN Perak meletakkan 14 calon wanita bagi kerusi Parlimen dan Dun.

Menurutnya, lapan calon Umno dipilih bagi mengisi tujuh kerusi Dun dan satu Parlimen, MCA empat calon dengan dua bertanding di kerusi Parlimen manakala Gerakan dan MIC masing-masing seorang calon Dun.

“Saya mengharapkan lebih ramai calon wanita memenangi pilihan raya kali ini dan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, Ini juga akan meningkatkan peluang merealisasikan 30 peratus wanita berada dalam barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Kerusi Parlimen ditandingi BN membabitkan Parlimen Ipoh Timur diwakili Kathleen Wong Mei Yin, Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Datuk heng Seai Kie (Parlimen Gopeng).

Bagi kerusi Dun pula, Rusnah kekal di Behrang, Salbiah Mohamed (Temengor) dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

Turut menampilkan muka baharu iaitu Saliza Ahmad di Dun Kubu Gajah, Norsalewati Mat Norwani (Titi Serong), Jamilah Zakaria (Trong), Lee Li Kuan (Pokok Assam), T Thangarani (Buntong), Liew Yee Lin (Simpang Pulai) serta dua calon pernah bertanding sebelum ini iaitu Datuk Tan Lian Hoe (Jalong) dan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah).