SHAH ALAM - Penggunaan satu logo bakal memberikan kelebihan kepada pakatan pembangkang untuk memudahkan pengundi mengenali Pakatan Harapan. 

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, cara itu akan memperlihatkan kesatuan jitu pakatan pembangkang.

"Saya melihat penggunaan satu logo dalam Pakatan Harapan memberi keuntungan kepada parti baru dan lama yang menganggotainya. 

"Parti-parti baru akan mendapat sokongan logistik daripada parti lama dan ini memberi kelebihan buat mereka (parti baru)," katanya. 

Sebelum ini pakatan pembangkang tidak menggunakan satu logo pada PRU dan PRK, sebaliknya menggunakan lambang parti pada calon-calon mereka.

Mengenai hasrat dua bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menubuhkan sebuah parti baru, Nik Ahmad Kamal berkata: "Satu langkah bijak sekiranya mereka bergabung dalam pakatan pembangkang. Hanya dengan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan mereka akan menjadi kukuh."

Malah beliau turut positif dengan teras perjuangan parti baharu itu iaitu mahu membanteras rasuah.

"Setiap parti politik perlu komprehensif, Jadi isu rasuah adalah sesuatu yang sesuai digunakan sebagai tarikan kepada rakyat pada masa ini. 

"Sama ada ia dapat meraih sokongan pengundi, kita lihat nanti PRU14," katanya.  

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelbagai isu yang melanda pembangkang ketika ini menyukarkan mereka bergerak atas satu pakatan. 

"Apa yang berlaku hanya lebih kepada satu ikatan longgar dan masing-masing cuba untuk membawa wadah perjuangan parti masing-masing," katanya. 

Beliau berkata, parti dalam Pakatan Harapan juga sukar mencapai kata putus dalam sesuatu isu berbanding BN yang telah lama menggunakan satu logo dalam PRU.

"BN berjaya mendapat persetujuan komponennya dalam pelbagai isu, namun adakah DAP dalam Pakatan Harapan mampu bersetuju dengan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam? 

"Sedangkan undi orang Melayu amat penting buat PKR dan Amanah," katanya. 

Beliau berkata, penggunaan satu logo memang menjadi impian besar kepada anggota parti dalam Pakatan Harapan.  

"Penggunaan satu logo adalah hasrat mereka untuk capai matlamat satu lawan satu," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.