SHAH ALAM - Bersatu melakukan saringan ketat sebelum bekas ahli Umno diterima masuk menjadi ahli parti.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesiapa yang ingin menjadi ahli Bersatu perlu membuktikan mereka tidak lagi terikat dengan Umno.

"Mereka menyokong tindakan-tindakan baik yang dilakukan oleh Bersatu dan apabila kami rasa senang dengan kelakuan mereka, maka kita akan terima mereka.

"Mereka bukanlah boleh masuk sebagai satu kumpulan besar yang berniat untuk menguasai parti Bersatu," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman sosial Facebook Bersatu hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian bagi menjelaskan kemasukan secara beramai-ramai ahli Umno ke Bersatu yang dikhuatiri boleh membawa budaya Umno yang buruk ke dalam parti itu.

Beliau menegaskan, Bersatu tidak boleh dikuasai sesiapa, melainkan perjuangannya sahaja.

Katanya, Bersatu bukan parti 'cash is king' dan hanya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

"Itu sahaja hasrat kami dan kami tak akan terima orang yang masih berpegang bahawa memasuki parti politik bermakna dapat peluang," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Tok Pa pilih Bersatu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Sertai Bersatu: Jangan kaitkan dengan Tok Pa]

Ramai bekas pemimpin dan ahli Umno menyertai Bersatu antaranya bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Terbaharu, bekas orang kuat Umno, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu, namun belum sempat mengisi borang keahlian.