KULIM - Pengerusi Bilik Pemilihan Umno Kulim-Bandar Baharu, Abd Ghani Hassan mengesahkan berlaku lebihan kertas undi bagi pemilihan yang diadakan untuk sayap parti itu semalam.

Menurutnya, kertas undi yang diterima adalah sebanyak 286 berbanding perwakilan iaitu sebanyak 277 orang sahaja yang layak memilih.

“Saya umum kehadiran perwakilan semalam adalah 277 tetapi apabila umumkan jumlah pengundian adalah 286.

“Di mana Nazira Abd Rahim sebanyak 140, Datuk Norsabrina Mohd Noor, 133 dan kertas undi rosak direkodkan sebanyak 13 keping.

“Ia menunjukkan berlaku lebihan kertas undi sebanyak sembilan keping bagi jawatan Ketua Wanita Umno,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihaknya masih menunggu tindakan yang akan diambil mana-mana calon yang tidak berpuas hati untuk membuat bantahan tersebut.

“Calon yang nak bantah, kita ada masa lagi untuk berbuat demikian sebelum 30 Jun ini. Kalau ada bantahan persidangan dan pemilihan perlu dilakukan "Sekiranya tiada bantahan, keputusan yang diumumkan sebelum ini adalah sah,” katanya.

Beliau turut mengakui tidak dapat mengawal keadaan semasa proses pengiraan kertas undi dijalankan memandangkan bilik kiraan agak sempit dan penuh.

“Apa pun saya masih jalankan tugas dengan telus dan mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.