JOHOR BAHRU - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila dirinya menjadi Perdana Menteri.

Menjawab persoalan banyak pihak mengapa isterinya tidak meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan, beliau berkata, jika Wan Azizah berbuat sedemikian, maka hilang Timbalan Perdana Menteri dari PKR.

Selain itu, katanya, beliau juga memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa dirinya tidak akan terus menyertai kerajaan selepas menang kerusi Parlimen Port Dickson.

“Saya nak bagi laluan sepenuhnya Tun Mahathir jalan tugas, saya tak mahu ganggu sehingga giliran saya nanti.

“Jadi sabarlah, Azizah akan letak. Bila? bila giliran saya naik jadi Perdana Menteri, tak payah awak semua sibuk. Memang daripada awal saya dilantik, dia (Azizah) akan letak (jawatan),” katanya.

Katanya ketika Bicara Maal Hijrah Bersama Anwar Ibrahim di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini, hari ini.

Anwar berkata, tidak akan berlaku situasi Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila dirinya menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.