KUALA TERENGGANU - Menuntut hak 10 peratus royalti minyak, insurans untuk rakyat dan Unit Cakne Kampung (UCK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan antara tumpuan utama dalam manifesto Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu bagi PRU14 kali ini.

Bertemakan Demi Teganu ‘Harapan Cakne Rakyat’, manifesto itu mempunyai lima dasar dan 10 bidang tumpuan untuk ditawarkan kepada rakyat.

Selain itu, buat pertama kalinya Harapan Terengganu menawarkan sembilan manifesto tambahan, khusus bagi golongan bukan bumiputera di Terengganu.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Harapan Terengganu, Azan Ismail berkata, manifesto berkenaan adalah tambahan daripada yang ditawarkan di peringkat pusat dan melengkapi semua bidang keutamaan yang ada di Terengganu.

“Lima dasar utama yang kita tekankan ialah memartabatkan agama dan masyarakat madani, kecekapan pengurusan petroleum dan sumber alam, keseimbangan ekonomi dan taraf hidup, warga sihat dan rumah untuk semua.

“Selain itu, wanita dan anak muda berpendidikan ke arah kebolehan pasaran dan berdaya saing serta gedung sumber makanan, pelancongan, kelestarian dan alam sekitar,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan PKR Terengganu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara bidang tumpuan utama dalam manifesto kali ini adalah menjadikan Terengganu pusat pengajian dan himpunan cendekiawan Islam terpenting di Asia serta menjadikan perundangan Islam berautoriti.

Selain itu, pihaknya memberikan jaminan keberkesanan pengurusan institusi zakat dan wakaf demi pembangunan ekonomi orang Islam serta dakwah.

“Kita juga akan menuntut 10 peratus royalti minyak, selain perancangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan perbelanjaan berhemah bagi pendapatan minyak dan gas untuk kemajuan rakyat Terengganu.

“Pada masa yang sama, kita akan mengurus, menjamin sumber alam dengan berkesan dan berkekalan serta penerokaan sumber baharu,” katanya.

Harapan juga katanya, akan menggerakkan ‘Unit Cakne Kampung’ (UCK) demi pembangunan sosial, kesihatan dan ekonomi rakyat serta daerah, di samping pusat pertumbuhan baru.

Unit baharu itu katanya, sebagaimana JKKK dan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), namun peranannya akan diselaraskan di semua Dun dan daerah selain mengeluarkan garis panduan baharu bagi pelaksanaan polisi dan tumpuannya.

“Bagi kemudahan rakyat juga, kita akan mewujudkan institusi kewangan bagi tabungan dan insurans rakyat serta mewujudkan Tabung Perumahan Darul Iman bagi memudahkan proses permohonan kelulusan pinjaman perumahan serta pemilikan tanah.

“Kita juga akan memberikan jaminan pembiayaan pendidikan di institusi akademik, vokasional dan teknikal, bertujuan memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja, teknikal serta keusahawanan” katanya.

Bagi masyarakat bukan bumiputera pula katanya, antara tawaran dibuat ialah skim pemilikan rumah untuk kelompok isi rumah yang berpendapatan RM5,000 ke bawah dengan peratusan dan kadar harga munasabah.

Ia dianggarkan akan memanfaatkan 6,800 keluarga bukan Melayu di seluruh Terengganu, dengan populasi penduduk berjumlah kira-kira 15,000 orang.