KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa perubahan secara total perlu dilakukan segera dalam parti itu dan ia memerlukan komitmen semua pihak di peringkat kepimpinan.

Katanya, Roh pembangkang perlu ada dalam DNA Umno agar mampu menjadi ejen semak dan imbang yang berkesan.

“Kepimpinan di semua peringkat perlu berfikir dan bekerja seperti pembangkang untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.

“Semua saf kepimpinan perlu berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti yang menjadi benteng kepada orang Melayu Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Umno hanya memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas dan setia kepada perjuangan untuk membina semula parti itu.

“Jangan sesekali kita lari dari prinsip perjuangan asal Umno iaitu, bersatu, bersetia dan berkhidmat. Pemilihan Umno yang berlangsung dengan semangat demokrasi ini merupakan langkah positif ke arah fasa baru di dalam parti ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, rakyat telah bersuara dan orang muda khususnya melihat perjuangan Umno pada hari ini sudah tidak relevan meskipun parti telah lebih enam dekad menyumbang bakti kepada bangsa dan negara.

“Justeru roh pembangkang di dalam DNA Umno ini akan mengembalikan semangat parti untuk berani menentang seperti era kewujudan Malayan Union. Jangan takut untuk membuat teguran walaupun perkara itu tidak sedap didengar,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua kepimpinan sayap parti yang telah dipilih akar umbi dalam pemilihan yang berlangsung.

“Menang kalah itu adat bertanding, yang menang perlu segera memasang tekad membawa perubahan kepada parti, manakala yang kalah diharap tidak menjauhkan diri dari parti kerana kesetiaan ahli-ahlinya adalah tonggak kepada kekuatan parti,” katanya.