SHAH ALAM - Umno Bahagian Tasek Gelugor yakin dengan perubahan drastik pucuk pimpinan bahagian itu mampu mencipta revolusi bagi menghidupkan keyakinan rakyat di situ terhadap Umno.

Ahli Jawatan kuasanya, Mohd Fadly Mohs Zain yang juga jawatan kuasa termuda dalam struktur bahagian itu berkata, perubahan itu adalah hasil daripada suara akar umbi.

Katanya, atas faktor itu, kepimpinan Umno di peringkat bahagian tersebut menyahut seruan daripada akar umbi.

"Kita berbalik kepada pembaharuan yang bakal diperkenalkan antaranya adalah memastikan paksi pemerintahan yang baharu di dalam Umno perlu bersikap lebih telus dan adil serta perlu membuang sikap angkuh dan bersifat populis.

"Atas sebab itu, pembaharuan di peringkat bahagian perlu dimulakan kerana ia paling dekat dengan akar umbi," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut katanya, pembaharuan Umno juga perlu ke arah ukhwah dan nubuwah.

"Dalam konsep nubuwah, ia berkait rapat dengan cara politik kenabian berdasarkan perspektif al-Quran.

"Kita perlu meletakkan Sunah dan al-Quran sebagai teras utama revolusi pembaharuan Umno," katanya.