• Razali 'pegang' Muar Razali (tengah) bersama calon Dun Sungai Balang, Zaiton Ismail dan calon Dun Maharani, Dr Mohamad Taslim meraikan kemenangan mereka.
1 /

MUAR - Biarpun hanya mampu memperoleh kemenangan tipis dengan majoriti 1,646 undi bagi Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim lega kerana kekal mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga.

Beliau memperoleh 20,867 undi menewaskan calon PKR, Nor Hizwan Ahmad merangkap Ketua PKR Cabang Muar yang mendapat 19,221 undi.

Razali berkata, usaha membangun dan meneruskan agenda transformasi akan terus dilakukan di daerah ini yang mempunyai 245,049 penduduk dengan keluasan 234,627 hektar.

“Saya tidak berasa sedih dan hanya menawarkan diri untuk membantu serta berbakti kepada masyarakat. Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah meneruskan kerja seperti biasa untuk mereka.

“Selepas ini, kita akan kaji semula majoriti yang diperoleh sebelum meneruskan rancangan merealisasikan transformasi diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Muar sebaik keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diumumkan, di Dewan Sekolah Tinggi Muar di sini, kelmarin.

Dalam pada itu beliau terharu apabila rakyat masih mempercayainya dan memberi peluang sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen berkenaan.

“Saya mendapat sokongan tinggi daripada kawasan Dun Sungai Balang dan merakam penghargaan kepada pengundi di kawasan itu kerana ia banyak mempengaruhi jumlah undian bagi Parlimen Muar.

“Pengundi tahu apa yang mereka undi. Ia adalah sebab kerajaan yang mereka percaya dan bukan dari perasaan mereka,” katanya.