IPOH - PKR Perak menganggap keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson sebagai satu permulaan memastikan pentadbiran negara seimbang.

Ketua Penerangannya, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, kedudukan Presiden PKR itu juga nanti dapat memastikan segala idea dan peranannya diterjemah dengan lebih tepat dalam struktur pentadbiran negara.

"Rakyat perlukan beliau bagi memastikan agenda dapat dilaksanakan dengan hemah dan beretika.

"PKR Perak akan memastikan jentera  dari negeri ini digerakkan dalam kempen pilihan raya kecil kali ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia menepis apa sahaja tohmahan bakal diberikan berikutan keputusan Anwar bertanding.

"Katalah apa sahaja, kepimpinan akan berusaha sebaiknya,  memandangkan pemilihan peringkat parti bagi Perak akan berakhir hujung minggu ini dan itu pastinya akan memberi ruang yang lebih buat kami dalam mengisi masa untuk berkempen nanti," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri ke lapan.