KUANTAN - Umno Indera Mahkota yakin rakyat masih menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada untuk terus membangunkan negara ini.

Ketuanya , Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid berkata,  ini yang telah dibuktikan berdasarkan rekod baik dan kecemerlangan BN serta komponennya dalam menerajui negara.

Menurutnya, malah hasil maklum balas diterima mereka menerusi beberapa program menerusi aktiviti turun padang bersama rakyat yang memfokuskan penyampaian dasar-dasar kerajaan secara terus jelas mendapat reaksi positif dari mereka.

“Kita dapat lihat golongan belia  kini sudah mula menunjukkan sokongan yang gitu terhadap Umno setelah melihat sendiri usaha dan kejayaan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ada pergerakan yang mereka nak bersama kerajaan pada hari ini dan mereka nak dengar apakah yang boleh kerajaan bangunkan di negara ini bukan sahaja orang melayu, tetapi kaum india dan cina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Karnival Anak Muda Indera Mahkota 2018 di Pantai Batu Hitam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim.