SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (Harapan) supaya lebih mengutamakan harapan rakyat kerana ia lebih tinggi daripada gabungan parti dalam kerajaan yang mempunyai pelbagai ideologi dan tujuan.

Dalam kenyataannya hari ini, Abdul Hadi berkata, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa politik selepas pilihan raya walaupun tidak menyokong kerajaan itu.

“Perlembagaan Negara yang berkonsepkan Islam Agama Persekutuan, serta kebebasan berbagai agama mengikut sempadan undang-undang hendaklah dihormati kerana telah lama berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat.

“Hak bumiputera yang masih ketinggalan sejak zaman penjajah dahulu tanpa membiarkan kaum lain yang dalam kesusahan, hendaklah ditangani berkonsepkan adil untuk semua,” katanya.

Menurutnya, ilmu, kebijaksanaan, benar dan salah bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya media sosial tanpa sempadan menjadi senjata utama selepas politik wang, tipu dan ugutan, khususnya dalam politik sekular yang terpisah daripada agama.

Beliau turut menasihati kerajaan bahawa “mengisi kemenangan” adalah lebih sukar berbanding mendapatkan kemenangan itu sendiri.

“Kepada yang menang, percayalah bahawa kewajipan mengisi kemenangan lebih berat daripada kerja mendapatkan kemenangan. Berwaspadalah bahawa pengampu kepada yang menang lebih ramai daripada yang berani memberi nasihat,” katanya.

Abdul Hadi turut meminta Harapan supaya mengambil iktibar dari ucapan khalifah pertama, Abu Bakar RA ketika dipilih menjadi ketua negara.

Antara intipati ucapan itu adalah meminta umat Islam memperbetulkan pemerintah jika melakukan kesalahan.