SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilihat terbuka untuk menerima sebarang jawatan jika ditawarkan kepadanya oleh presiden parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang kalah kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, berkata kini tumpuannya adalah untuk turun bersama-sama anggota akar umbi parti dan bekerja ke arah penubuhan Koperasi anggota PKR.

"Itu (tawaran jawatan dalam parti) tunggu pengumuman presiden kerana ia bidang kuasa beliau, tapi sebelum pilihan raya umum lepas saya sudah sampaikan permintaan kepada parti bahawa saya tidak mahu sebarang jawatan awam, YB Adun.

"Tapi sudah tentu jika ada perbincangan ke arah itu, saya setia dengan perjuangan parti, dan jika ada permintaan daripada presiden, saya akan berbincang dengan beliau," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Kongres Nasional Keadilan 2018 di sini hari ini.

Semalam PKR menubuhkan majlis penasihat dan mantan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebulat suara dilantik sebagai pengerusi pertamanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya terhadap kepimpinan PKR yang baharu diumumkan secara rasmi hari ini, Rafizi berkata barisan itu kini bertanggungjawab dalam mendukung ketetapan parti yang meletakkan presiden sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Jika mereka dilihat tidak ke depan dalam hal ini, mereka akan dihakimi oleh rakyat.

"Selain itu barisan kepimpinan yang baharu ini juga perlu bersuara untuk rakyat, isu gaji, isu ekonomi rakyat yang merupakan isu yang kita ketengahkan dahulu sehingga kita menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu ditangani segera," katanya.