SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menafikan dakwaan bahawa beliau akan bertanding di Dun Rantau selepas mahkamah pilihan raya hari ini  mengarahkan pilihan raya semula diadakan bagi kerusi berkenaan.

Memetik Malaysiakini, Rafizi juga menyalahkan penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

"Itu satu pembohongan dari orang di kem Azmin.

"Tak benar sama sekali. Ia berniat untuk merosakkan imej saya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi jadi MB NS spekulasi nakal]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan Tok Mat di Dun Rantau tidak sah]

Rafizi, yang mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden, mengulangi bahawa beliau tidak akan memegang jawatan awam buat masa ini.

Tambah Rafizi, PKR seharusnya mencalonkan Dr S Streram sekali lagi bagi kerusi berkenaan.

“Streram sudah bekerja keras untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu. Beliau jadi mangsa apabila dihalang untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu.

“Orang terbaik bertanding di Rantau ialah Streram. Dan saya akan berkempen untuk beliau,” katanya.

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan Rafizi akan bertanding bagi kerusi Dun Rantau dan dikatakan seterusnya akan menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Pada PRU14, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menang tanpa bertanding selepas Streram dihalang masuk ke pusat pencalonan. Bagaimanapun, mahkamah pilihan raya di Seremban hari ini memutuskan kemenangan beliau batal dan tidak sah.

Pada 23 Mei, calon PKR Dun Rantau PRU14, Streram memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi Dun berkenaan.

Pada 25 Jun, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Rantau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Pada 6 November lepas, Umno telah melancarkan jentera PRK Dun Rantau sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan meskipun belum ada keputusan berhubung petisyen PRK di Dun berkenaan.