SINGAPURA – Kedua-dua calon bagi jawatan timbalan presiden PKR adalah “pintar”, cerdas dan mempunyai rekod yang baik”, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang baru-baru ini memenangi jawatan Presiden PKR berkata demikian pada Siri Syarahan Kepimpinan Ho Rih Hwa yang dianjurkan oleh Singapore Management University.

Anwar selaku penceramah terkemuka ke-10 bagi Siri itu berucap atas topik bertajuk “Kepimpinan pada Abad Ke-21: Angin Perubahan”.

Anwar menjawab soalan daripada hadirin yang bertanya bagaimana beliau akan menyatukan Mohd Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kedua-duanya bertanding merebut jawatan tersebut.

“Apa masalahnya? Ini adalah pemilihan demokratik. Mereka adalah dua personaliti… Mengapa pula ini akan membawa perpecahan dalam parti… (Kemungkinan) satu-satunya penyelesaian ialah tidak ada pertandingan… jadi saya akan mengikuti kaedah Korea Utara.

“Ini adalah demokrasi yang anda perlu bersikap toleransi...anda harus menerima hakikat bahawa mereka perlu berkempen… semangat demokratik yang mereka kekalkan untuk bertanding… memenangi pemilihan,” kata beliau.

Pemilihan akan diadakan secara berperingkat bermula Sabtu hingga 28 Okt untuk memilih wakil Majlis Kepimpinan Pusat iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), ketua Wanita dan anggota majlis.

Anwar menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR.

“Memang menjadi tugas saya sebagai presiden untuk membawa mereka bersama dan memberi peranan yang sesuai kepada calon yang tewas dalam pemilihan parti...lebih-lebih lagi ini adalah pemilihan di kalangan anggota parti,” kata beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa media yang “nampaknya” melaporkan bahawa terdapat perpecahan dalam PKR. - Bernama