PERMATANG PAUH - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengajak jentera PKR untuk terus bekerja keras membela rakyat di Permatang Pauh.

Beliau dalam masa sama turut menyeru jentera PKR untuk memperbanyakkan program membela rakyat dan tidak terlalu memberi perhatian kepada pelbagai polemik politik kepartian.

Beliau berkata demikian ketika mengambil maklum usul yang diluluskan di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Permatang Pauh semalam untuk memutuskan kerjasama dengan PKR di Permatang Pauh.

"Sementara saya menghormati keputusan itu yang dibuat oleh perwakilan Pas Permatang Pauh, saya juga menghargai sokongan ribuan lagi ahli Pas di Permatang Pauh yang telah sebati dengan perjuangan bersama sejak tahun 1998 lagi.

"Bagi pihak PKR, saya ingin merakamkan rasa terhutang budi kepada ahli-ahli Pas biasa seperti ini dan kami akan terus mengukuhkan semangat persahabatan yang telah dibina sekian lama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pas Permatang Pauh semalam meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR selepas melihat parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin sejak sekian lama.

Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, PKR khasnya di Pulau Pinang tidak menghormati Pas sebagai rakan tahaluf apabila terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah yang sebelum ini dengan lantang menyerang Pas dan pimpinannya.

Selain itu, Omar berkata, PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Pas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas Permatang Pauh putus hubungan dengan PKR]

Menurut Rafizi, keputusan untuk tidak membantu PKR di dalam pilihanraya pernah berlaku sebelum ini pun semasa kempen PRK Permatang Pauh dalam tahun 2015 lalu.

Malah, dakwanya, ada segelintir ahli Pas menunjuk perasaan membantah PKR semasa kempen itu tetapi ia tidak melunturkan semangat kerjasama di antara ahli biasa PKR dan ahli biasa Pas di bawah.

"Akhirnya, (pada waktu itu) Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  kembali menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh pada margin yang sama dengan kemenangan (bekas Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 2013.

"Oleh yang demikian, saya memohon supaya ahli-ahli PKR terus mendekati rakyat dan membela rakyat biasa di Permatang Pauh.

"Saya yakin prinsip membela rakyat seperti ini yang telah dizahirkan oleh Anwar dan Wan Azizah sekian lama telah memenangi hati rakyat Permatang Pauh, walaupun pelbagai gelora politik melanda sejak 1999 kerana Umno sangat menginginkan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad perlu campur tangan berhubung penggantungan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad.
  • SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad supaya campur tangan dan meredakan kemelut yang melanda firma perladangan itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.