IPOH - Umno Bahagian Tambun tidak mahu orang luar bertanding di kawasan itu pada PRU14.

Adun Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, hasrat berkenaan disuarakan oleh akar umbi dan beliau berharap permintaan itu mendapat perhatian sewajarnya pihak pimpinan tertinggi parti.

"Kita berharap pihak perasmi yang juga diwakili pimpinan tertinggi Umno dapat mendengar suara akar umbi ini,” ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tambun yang disempurnakan oleh Ketua Penerangan Umno,Tan Sri Annuar Musa di Casuarina @ Meru, pagi tadi.

Annuar berkata, pihaknya akan membawa hasrat berkenaan kepada pucuk pimpinan parti.

Sementara itu pada sidang media majlis itu, Annuar berkata, roh dan semangat perjuangan parti perlu terus didokong oleh semua ahli Umno.

Katanya, prinsip itu juga perlu ada pada semua parti komponen BN selaras dengan sejarah awal penubuhan parti berkenaan atas prinsip setia kawan dan kebersamaan.

"Ini kekuatan kita sejak awal. Kita pernah dikafirkan kerana berkawan dengan Cina, berkawan dengan India dan sebagai orang Islam ia sesuatu yang berat.

"Kita tak  tinggalkan kawan kita dan ia unik kerana ini bukan pakatan tetapi ia adalah muafakat bangsa dan kita harap roh dan semangat ini diberikan keutamaan dalam parti," katanya.