JIKA sehingga 24 Jun 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk membubarkan Parlimen, bermakna keesokkannya itu pentadbiran negara akan terbubar secara sendiri.

Bagaimanapun dalam sejarah demokrasi negara, belum pernah lagi seorang perdana menteri itu akan membenarkan Parlimen terbubar dengan sendiri.

Dalam tempoh berbaki kurang empat bulan ini, rata-rata parti politik telah mula melakukan gerak kerja bagi memenangi hati pengundi di kawasan masing-masing.

Sekiranya tiada pertambahan kawasan Parlimen dan Dun, PRU14 bakal menyaksikan 222 kerusi Parlimen dan Dun sebanyak 587.

Persoalannya bila tarikh yang sesuai bagi bapa segala PRU akan diadakan?

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir, beliau menjangkakan PRU akan diadakan seawal minggu terakhir April atau minggu pertama Mei.

Katanya, itulah jangkaan paling maksimum yang akan dilaksanakan PRU oleh Najib kerana umat Islam akan mula menyambut Ramadan pada 17 Mei.

”Bagi saya tarikh yang amat sesuai SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) umumkan proses buang undi adalah antara 28 April dan 5 Mei, iaitu hari Sabtu.

”Jika tarikh berkenaan dipilih SPR, bermakna tempoh pembubaran Parlimen adalah dalam masa 60 hari atau berkurang dari tarikh berkenaan,” katanya.

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia, tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen adalah tempoh masa yang perlu diadakan PRU.

Berdasarkan pengamatan Jeniri, tempoh berkempen juga tidak akan panjang kerana setiap parti politik telah berkerja untuk meraih undi sejak sekian lama.

”Tempohnya mungkin dalam masa 11 ke 12 hari sahaja, tidak sampai dua minggu.

”Sekiranya terlalu panjang tempoh berkempan, setiap parti terpaksa menangkis isu yang panjang, malahan akan melibatkan kos kewangan yang besar secara keseluruhannya,” katanya.

Walaupun tempoh berkempen belum diumumkan SPR, pensyarah Fakulti Sains Sosial Unimas itu berkata, pemimpin-pemimpin parti telah mula turun kawasan.

Oleh itu, faktor kempen pendek bukanlah halangan kepada mana-mana parti politik.

Lebih jelas PRU14 ini akan diadakan sebelum umat Islam memulakan ibadah puasa berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita ada tiga raya...raya Cina baru lepas...sebelum raya haji, kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa, kita ada satu lagi ‘raya besar’,” katanya Ahad lalu.

Ini bukan kali pertama Ahmad Zahid berkata demikian. November lepas, beliau telah memberi bayangan mengenai perkara sama.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff percaya kerajaan akan membenarkan sidang pertama Parlimen bersidang sebelum membubarkannya.

Beliau berkata, ada beberapa rang undang-undang penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

”Paling cepat pun, Parlimen akan bersidang selama sebulan dan pertengahan April perdana menteri akan membubarkannya.

”Bagi tempoh kempen pula, ia tidak akan lebih dari dua minggu dan sudah cukup untuk setiap parti selesaikan sebarang isu,” katanya.

Menurutnya, dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah banyak pencerahan dibuat kerajaan.

Oleh itu, bukan lagi isu yang mengambil masa panjang.

”Begitu juga dengan isu-isu kritikal kepada kerajaan sendiri, konflik tidak akan timbul lagi dalam tempoh itu.

”Yang penting, semua parti perlu menambah keyakinan rakyat untuk memilih parti masing-masing,” katanya.