BENTONG - Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersedia menghadapi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang jika benar Ahli Parlimen Gelang Patah itu berhajat bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada PRU14.

Tiong Lai berkata, sebagai seorang wakil rakyat yang telah melakukan tugas dengan cemerlang di kawasan itu sejak 1999, beliau yakin sokongan pengundi di kawasan berkenaan tidak akan goyah daripada terus menyokongnya.

“Kit Siang sebagaimana kita tahu, dia memang gemar melompat dari satu tempat ke satu tempat lain. Dulu di Pulau Pinang, kemudian ke Gelang Patah, semuanya tidak bertahan lama sebab dia tidak memberikan perkhidmatan dengan baik.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program sambutan Tahun Baharu Cina Rumah Pangsa Batu 1, Jalan Tras, Tiong Lai berkata beliau bersedia untuk berdepan siapa sahaja yang datang bertanding di Bentong berdasarkan rekod pencapaian yang baik.

“Bagi penduduk di sini, mereka tahu siapa wakil rakyat yang beri perkhidmatan dan kerja keras untuk mereka,” katanya.