SHAH ALAM - Pemerhati politik negara ini bersetuju dengan pandangan menyatakan PRU14 bakal dikenali sebagai Pilihan Raya Facebook.

Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana pada PRU13, calon yang menggunakan media sosial sebagai salah satu alternatif berkempen berjaya mempengaruhi keputusan undi.

“Kalau kita lihat dalam ledakan maklumat di media sosial, ia bergerak dengan pantas ke seluruh negara. Mereka menggunakan kesempatan ini bagi menarik undi sebanyak mungkin.

“Calon-calon yang tidak menjadikan media sosial sebagai medium berkempen, mereka sedikit ketinggalan dari segi sokongan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya

Dr C Sara berkata, PRU14 bakal dikenali sebagai Pilihan Raya Facebook dan pemerhatian itu dibuat berdasarkan penyertaan serta penglibatan orang ramai yang bercakap soal politik di media sosial.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, oleh kerana media sosial sukar ditapis dan disahkan kebenarannya, maka pelbagai maklumat tidak benar disebarkan.

“Dalam soal ini, calon parti perlu bersedia menangkis tohmahan, dakwaan dan berita palsu dengan pantas serta berhemah.

“Justeru, ahli politik dan rakyat di negara ini perlu proaktif dalam menilai setiap maklumat yang diterima itu betul, dan jika tidak betul ia perlu dijawab dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, beliau menganggap media sosial perlu dijadikan alat kepada semua parti politik menyalurkan maklumat dan membalas segala berita yang keluar, sama ada benar atau tidak benar.

“Dalam tempoh berkempen nanti, setiap parti perlu guna media sosial untuk mempengaruhi pengundi agar menterjemahkan sokongan kepada bentuk undi.

“Setiap berita perlu dijawab secepat mungkin kerana berita tidak benar ini apabila lambat dijawab akan menyebabkan rakyat percaya ia benar. Setiap parti perlu mempunyai strategi dan peka dalam setiap saat,” ujarnya.

Namun katanya, kempen individu secara langsung di saat akhir hari berkempen mampu mengubah sokongan pengundi.

“Saya masih anggap kempen individu ke rumah-rumah lebih berkesan bagi akhir-akhir masa kempen,” katanya.