Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff
KOTA BHARU - Parti Progresif Penduduk (PPP) mengharapkan tiada pihak yang mempertikaikan ketetapan yang diambil dalam menentukan nasib bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ekoran kritikan kerasnya itu.
Naib Presidennya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff berkata, semua pihak tidak boleh menafikan nasib yang menyebelahi Nasharuddin itu kerana negara kini berada dalam suasana pilihan raya yang semakin hampir dan Pas sudah menyedari situasi sebenar.
Menurutnya, Nasharudin sebenarnya diselamatkan oleh jangka waktu pilihan raya umum dan sekiranya PRU13 masih lewat, beliau kemungkinan akan menerima nasib yang sama dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali.
“Biarpun mesyuarat Majlis Syura pada 9 September lalu tidak menyentuh sebarang perbincangan mengenai Nasha dan sekali gus beliau kekal sebagai ahlinya tetapi jangan pula ada yang mengkritik perkara tersebut sehingga mewujudkan penghinaan melampau antara sesama agama.
“Kita perlu menghormati keputusan tersebut dan keterlaluan sekiranya perkara itu (tindakan tidak membincangkan isu Nasharudin) menjejaskan hubungan antara kita malah sanggup melontarkan tohmahan yang menganggap ketidakwajaran tanggungjawab seseorang pemimpin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Bagaimanapun, PPP membayangkan Pas mempunyai perancangannya dalam jangka masa panjang dalam isu itu dan ini diperkukuhkan lagi dengan senario PRU13 terutamanya dalam mencapai kemenangan pada pilihan raya umum nanti termasuk di Parlimen Bachok.
Nik Sapeia menjelaskan ketetapan diambil sudah semestinya melihat pelbagai sudut secara jelas dan tidak terkecuali juga apabila kemungkinan ada yang sedar perjuangan Nasharuddin lebih mementingkan Islam, negara berbanding kepentingan politik.
“Mungkin ada pihak yang lantang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Majlis Syura itu apatah lagi mengkritik pemimpin dengan melabelkan pucuk pimpinan Pas gagal bertindak secara mursyid dan itu memerlukan kebijaksanaan pimpinan Pas untuk mentafsirkannya.
“Biarpun ada yang tidak dapat menerimanya, sebaliknya PPP melihat setiap keputusan itu dilakukan untuk kebaikan parti dalam jangka masa tertentu dan untuk kelangsungannya terletak kepada kaca pemikiran pucuk pimpinan,” katanya.
Nik Sapeia berkata, ada pihak tidak senang dengan wujudnya sindiran mahupun cengkaman terhadap tindakan tidak membincangkan perkara itu dan sewajarnya ditangani secara baik oleh Pas.




