Ramalan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini akan menjadi PRU paling sengit dalam sejarah negara, nampaknya sudah mula menunjukkan kebenarannya awal-awal lagi.

Baru kelmarin Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat keputusan mengenai tarikhnya, kempen pun entah bila akan bermula.

Tetapi mereka yang dijadualkan bertempur dalam ‘peperangan’ yang digerakkan oleh gendang perang yang dipalu Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan sekadar bersiap sedia, malah sudah mula menggempur musuh masing-masing.

Di setengah tempat di beberapa negeri, kepanasannya sudah terlalu meluap hingga mencetuskan tindakan tidak wajar di kalangan mereka yang nakal.

Hanya tindakan pantas dan bijak pihak berkuasa mampu menyekat keadaan seperti dari melampaui batas.

Pemimpin-pemimpin parti tidak terlepas daripada cabaran, sindiran dan asakan untuk bertindak memenuhi kehendak pengundi, penyokong dan ahli parti di pelbagai peringkat.

Najib sendiri dicabar ‘suara-suara nakal’ meninggalkan kubu beliau di Parlimen Pekan, Pahang, yang beliau bertapak sejak mula menceburi politik awal 70-an.

Namun, Najib, sebagai pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman, tidak mudah melatah untuk menyambut cabaran seperti itu.

Beliau dicabar mengikut jejak Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan penyokong sebagai meninggalkan kerusi selamat untuk bertanding di tempat lain, bagi buktikan ketokohan seorang pemimpin.

“Dia (Anwar) rasa tidak selamat di Permatang Pauh dan meninggalkan rakyat yang telah menyokong selama dia terlibat di dalam politik.

“Saya tak pernah terfikir untuk meninggalkan (Parlimen) Pekan. Saya akan hidup dan mati di Pekan, secara politiknya,” katanya ketika menjawab soalan pemberita semalam.

Bahkan, bagi Najib, kalau Anwar boleh meninggalkan Permatang Pauh, beliau juga mampu meninggalkan sesiapa sahaja pada masa akan datang.

Anwar kelmarin menegaskan beliau bukan lari atau tidak menghargai penyokong-penyokong di Permatang Pauh, tetapi mahu mengukuhkan kedudukan PR di Perak, negeri yang dirampas BN dalam suasana yang penuh kontroversi, kira-kira 11 bulan selepas PR memerintah negeri itu.

Penghijrahan Anwar turut menerima tentangan hebat Naib-Pengerusi Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, mengisytiharkan ‘perang’ dengan Anwar.

“Kita akan pastikan Anwar kalah (di mana sahaja di Perak beliau bertanding),” tegas Menteri Pertahanan itu, ketika bercakap kepada pemberita, semalam.

Di Kelantan, keadaan agak panas apabila calon Pas tidak menyenangkan setengah penyokong.  

Selepas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan mahu mengekalkan Saipul Bahrin Mohamed sebagai calon Pas Dun Selising 30 Mac lalu, segelintir penyokong Pas menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan pemilihan itu.

Kumpulan ini dikatakan mengadakan perbincangan dan antara lain memutuskan mahu menaja calon bebas sebagai tanda protes terhadap pengumuman Menteri Besar Kelantan itu.

Polis Kelantan juga sedang menyiasat kejadian sebuah papan tanda milik kerajaan negeri, yang memaparkan gambar Nik Abdul Aziz serta kenyataan kata-katanya, mengenai ‘Tujuh Dosa Umno’ di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong yang dilempar minyak tanah dan dibakar pagi semalam.

Bahang ini dijangka semakin meluap menjelang kempen PRU.

Pelbagai tuduhan dan dakwaan akan dibuat penyokong parti dalam usaha mencapai matlamat masing-masing.

Siapa menang, siapa kalah adalah adat sesuatu pertandingan. Yang penting ialah  semua pihak, tidak kira di sebelah mana mereka berpihak, perlu memainkan  peranan untuk menjamin proses PRU13 ini berjalan lancar, adil, dan aman.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin menyiarkan termasuk menerusi media massa parti politik yang gagal menghantar wakil ke pusat pengundian dan penjumlahan undi pada PRU14 akan datang bagi meninjau proses pengundian.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan didakwa gagal menunaikan janji untuk membina satu juta rumah mampu milik sebagaimana dinyatakan dalam manifesto PRU13.
  • KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan Terengganu kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tetap enggan memberikan salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku kedua.
  • PETALING JAYA - PKR hari ini mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berkaitan pengundi hantu di Wangsa Maju.
  • PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan usahanya dalam menyelesaikan urusan siasatan tempatan kali kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor dalam tempoh masa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.