• Wan Ahmad Wan Omar Wan Ahmad Wan Omar
1 /

KUALA LUMPUR - Seramai 2.3 juta atau 21.69 peratus daripada keseluruhan 13,291,385 orang yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) merupakan pemilih baru yang akan mengundi buat julung kalinya tahun ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata angka itu merupakan jumlah pengundi baharu paling tinggi pernah dicatatkan setakat ini.

"Jumlah peningkatan ini adalah hasil kerja kuat dan berterusan oleh SPR untuk menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab bila tiba masanya nanti," kata Wan Ahmad.

Beliau berkata berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012 itu juga menyaksikan 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun.

Daripada jumlah itu, 3,024,909 atau 22.76 peratus merupakan mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun, manakala 19.1 peratus (2,539,222) lagi berada dalam lingkungan umur 21 hingga 29 tahun.

Kelayakan kumpulan itu untuk menentukan kerajaan yang bakal menerajui negara, menjadikan mereka sasaran ‘pancing’ parti-parti politik yang bertanding pada PRU-13 ini.

Wan Ahmad berkata golongan itu merupakan kelompok yang tidak mengikut telunjuk orang lain.

Walaupun mungkin bukan penentu keputusan dalam PRU-13, namun undi kumpulan itu pastinya akan memberi kesan besar dalam pertempuran kali ini yang disifatkan ‘ibu segala pilihan raya’.

Wan Ahmad berkata pada PRU-13 ini SPR akan menggunapakai Daftar Pemilih (DP) sehingga suku 4/2012 yang diwartakan pada 22 Feb lepas memandangkan daftar pemilih bagi suku pertama 2013 belum sempat untuk diwartakan.

Katanya, berdasarkan DP itu kumpulan umur paling ramai layak mengundi selepas golongan muda adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 40an (21.85 peratus), 50an (18.39), 60an (10.73) 70an (5.24), 80an (1.58) dan 90an (0.35).

Pada PRU-12 yang dijalankan pada 2008 menyaksikan 10,922,139 pengundi layak mengundi.

Statistik pengundi baru paling ramai menunjukkan Selangor mendahului dengan 2,051,708, penambahan 486,214 (31.06 peratus) berbanding 2008.

Ini diikuti Johor (1,608,326); Perak (1,409,772); Sarawak (1,086,191); Kedah (1,043,281); Sabah (982,311) dan Kelantan (920,433).

Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatat jumlah pengundi paling sedikit iaitu 15,798 orang. - Bernama