Shafiq
Mahadzir Abd Hamid
ALOR SETAR - Calon Pemuda Umno perlu bersikap lebih terbuka dalam segala aspek jika berhasrat menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi meraih sokongan golongan muda.
Ketua Pemuda Umno Kuala Kedah, Shafiqurrahman Shamsudin berkata, golongan muda lebih berminat kepada pemimpin yang boleh mendengar luahan hati mereka serta sentiasa terbuka dalam apa jua perkara.
Menurutnya, mereka boleh mencontohi tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan laman sosial seperti ‘facebook’ dan ‘twitter’ untuk berinteraksi dengan masyarakat sebagai salah satu cara mendekati mereka.
“Kami juga turut mengambil inisiatif sendiri mewujudkan blog Umno Kuala Kedah untuk memastikan segala perkembangan serta aktiviti semasa dapat diketahui seterusnya dikongsi bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong hasrat Pemuda Umno negeri yang berharap lebih ramai wakil mereka diketengahkan sebagai calon oleh pucuk pimpinan parti pada PRU13 untuk menarik sokongan golongan muda.
“Perancangan rapi sudah diatur untuk persiapan menghadapi PRU dan pelbagai aktiviti turun padang turut dirancang sama ada pada bulan Ramadan serta selepas Aidilfitri kelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Sik, Mahadzir Abd Hamid, berkata, pemimpin muda perlu diberi peluang untuk menjadi calon bagi membawa aspirasi serta suara golongan muda ke peringkat atasan.
“Golongan muda lebih suka jika ada individu yang sudi mendengar masalah mereka. Walaupun tidak dapat membantu menyelesaikannya tetapi sekurangnya mereka rasa dihargai serta diberi perhatian.
"Kita menggunakan pelbagai medium untuk mendekati mereka termasuk melalui persatuan belia, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan saluran lain,” katanya.
Mahadzir berkata, masyarakat akan lebih menghormati pemimpin yang mempunyai aura ketokohan dan kepimpinan tersendiri untuk menawan hati mereka serta mampu berhujah dengan lantang.
“Mereka juga mesti menguasai isu-isu semasa yang sering dipaparkan dalam pelbagai saluran media, mengikuti perkembangan blog dan sebagainya supaya lebih peka dengan situasi sekeliling.
“Jika ada muka baru dipilih sebagai calon, kita harap pemimpin terdahulu akan memberi laluan sepenuhnya serta tetap menyokong sama seperti sokongan yang mereka terima sewaktu menjadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata, hasrat untuk meletakkan lebih ramai wakil pemuda sebagai calon wajar disokong berikutan prestasi ditunjukkan semasa PRU12 calon Pemuda bertanding di enam kerusi dan menang empat walaupun dalam suasana tsunami politik.




