• Teng Chang Yeow Teng Chang Yeow
1 /

GEORGETOWN - Gerakan berhasrat bertanding di empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13, dengan 60 peratus calon terdiri daripada muka baru.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow berkata, pembahagian kerusi untuk calon akan dirombak sedikit bagi menyesuaikannya dengan keadaan setempat.

"Ada sebahagian daripada mereka yang bertanding akan dirombak, namun bilangannya tidak banyak sekadar 20 hingga 30 peratus sahaja... yang lain-lain itu kita beri ruang kepada muka baru," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Teng menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina  Gerakan Jelutong di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Beng Teik, di sini hari ini.

Turut hadir Tan Hock Sim, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang turut menyampaikan sumbangan kepada enam badan bukan kerajaan melibatkan peruntukan RM315,000.

Teng berkata parti itu yakin dapat menyediakan calon yang layak untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 sekali gus mampu mentadbir negeri ini sekiranya sekali lagi diberi mandat oleh penduduk Pulau Pinang. - Bernama