KUALA LIPIS - Pergerakan Pemuda Umno Pahang berharap lebih ramai orang muda dicalonkan untuk bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketuanya Abu Jimmi Samat berkata Pemuda Umno mempunyai ramai pemimpin  muda berwibawa yang dilihat layak untuk dicalonkan.

"Pemuda yakin calon-calon muda ini akan diterima masyarakat. Pada pilihan raya umum 2008, lima calon Pemuda Umno Pahang telah menang semua kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang ditandingi mereka.

"Memandangkan Pemuda Umno diterima rakyat dan para pengundi, adalah wajar pucuk pimpinan parti sekali lagi  memberi peluang kepada pemuda mengetengahkan calonnya pada pilihan raya kali ini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, 32 daripadanya diperuntukkan kepada Umno, lapan untuk MCA dan masing-masing satu kerusi untuk Gerakan dan MIC. - Bernama