KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melakukan gerakan kecil-kecilan untuk mempertimbangkan bahawa pilihan raya umum diadakan apabila tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya lebih awal.
   
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau secara peribadi bersetuju dan bersedia untuk menjadi pemangkin kepada langkah itu.
   
"Saya secara peribadi merasakan lima tahun bermakna lima tahun, jadi rakyat faham mereka akan mengundi wakil mereka selama lima tahun, saya juga boleh jadi catalyst (pemangkin) untuk kita cuba dapatkan lima tahun ini," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012 di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
   
Mohamed Nazri berkata perkara itu juga boleh dibincang sekiranya ia memberi manfaat kepada negara memandangkan sistem Westminster di United Kingdom yang menjadi model kepada sistem Parlimen Malaysia baru-baru ini telah bersetuju untuk memastikan tarikh pilihan raya adalah selepas lima tahun.
   
"Oleh kerana sistem kita mengikut Westminster, ia mungkin satu perkara yang boleh kita bincang dan kalau ia lebih memberi manfaat kepada negara untuk memastikan lima tahun itu maknanya lima tahunlah... dan tidak boleh dipanggil pilihan raya sebelum lima tahun. Ini boleh kita bincangkan untuk dilaksanakan," katanya.
   
Beliau berkata bagaimanapun, bagi menentukan tarikh pembubaran Parlimen lebih awal, ia merupakan perkara dasar yang perlu dikaji terutama daripada aspek perundangan.
   
"Tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah menentukan tarikh pilihan raya umum apabila Parlimen bubar," katanya.
   
Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang mencelah ketika penggulungan bertanya kepada Mohamed Nazri bahawa jawapannya itu menggambarkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada tahun depan.
   
Mohamed Nazri berkata untuk membubarkan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri terpulang kepada kerajaan sedia ada dan pembubaran Parlimen adalah hak Perdana Menteri untuk menentukannya.
   
Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai pecahan jumlah pengundi pos mengikut kawasan Parlimen, Mohamed Nazri berkata SPR tidak mempunyai maklumat jumlah keseluruhan pemilih yang akan mengundi sebagai pengundi pos untuk pilihan raya umum ke-13 kelak.
   
Beliau berkata semua permohonan untuk menjadi pengundi pos hanya boleh dikemukakan selepas disahkan adanya pertandingan untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
   
Jumlah pemilih terkini sehingga pemerakuan Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Pertama 2012 yang diwartakan ialah 12,915,045 orang. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perebutan undi Melayu pada PRU14 dijangka sengit dan akan dimenangi oleh parti yang mempunyai gerak kerja terkuat di akar umbi, kata Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
  • KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membayangkan beliau bersedia menentang Tan Sri Shahrir Samad untuk rebut kerusi Parlimen Johor Bahru pada PRU14 sekiranya diarahkan parti.
  • KUALA LUMPUR - Pengerusi Gabungan NGO, Datuk Seri Jamal Md Yunus, 'mendermakan' AS$1.8 bilion bersamaan RM7 bilion untuk tabung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi satu transaksi cek di ibu negara hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap keceriaan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dapat membawa tuah kepada BN pada PRU14 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
  • KUALA LUMPUR - Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyokong kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa haram untuk pengundi menyokong kempen memboikot atau sengaja merosakkan undi pada pilihan raya umum ke 14 (PRU 14).