SHAH ALAM – “Kita sudah ada konsensus dan ada yang nak bertanding, cuma sekarang ini tunggu keputusan pusat,” demikian penjelasan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menurutnya, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut mengenai siapakah calon yang bakal bertanding untuk PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos nanti berikutan belum ada berita sahih.

Bagaimanapun katanya, BN Selangor sudahpun mempunyai konsensus berhubung perkara itu dan tidak menafikan ada yang mahu bertanding untuk PRK Sungai Kandis.

“Memang ada yang nak bertanding tapi siapa calon itu tak boleh kita putuskan sebab serah semuanya kepada pucuk pimpinan tertinggi pusat untuk menentukan.

“Sama ada calon tempatan atau luar, semuanya akan diputuskan pucuk pimpinan. Tapi dari segi bertanding tu, kita (Umno) kalau boleh nak bertanding,” katanya ketika diminta mengulas pemilihan calon PRK Sungai Kandis.

Mengulas lanjut mengenai gerak kerja kempen, Adun Batang Kali itu menjelaskan, pelaksanaan kempen untuk PRK Sungai Kandis pastinya berbeza kali ini.

“Meskipun Umno BN sudah biasa berdepan dengan pilihan raya kecil sebab bukan selalu berlaku tapi dari segi berkempen, pastinya kali ini berbeza dalam keadaan kita bukannya parti memerintah," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengusulkan cadangan agar Umno bertanding atas ‘nama sendiri’ pada PRK Sungai Kandis nanti.

Katanya, inilah masa sesuai untuk Umno menguji pasaran sama ada parti itu masih ‘laku’ atau tidak dan sejauh mana penerimaan rakyat di kawasan berkenaan terhadap Umno.