SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengusulkan cadangan agar Umno bertanding atas ‘nama sendiri’ pada PRK Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Menurutnya, inilah masa sesuai untuk Umno menguji pasaran sama ada parti itu masih ‘laku’ atau tidak.

“Kita kena 'transform' Umno jadi produk baharu yang boleh dibeli, bukan produk yang basi. Begitu juga dengan BN, kena ada resipi baru untuk tarik sokongan rakyat.

“Mungkin kita boleh ‘test market’ di Sungai Kandis bertanding atas nama Umno bukan BN. Setuju atau tidak?,” katanya pada Wacana Sinar Harian kali-64 yang berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’, semalam.

Merujuk kenyataan Timbalan Presiden Umno itu, cakap-cakap dan saranan pihak tertentu sebelum ini yang melihat parti keramat Melayu itu ‘harus berehat’ daripada menyertai PRK dan hanya fokus kepada proses membina serta memulihkan semula parti tidak lagi relevan.

Umno masih bersemangat untuk 'berperang' dan pastinya mahu membaiki persepsi negatif terhadap parti itu selepas kekalahan teruk pada PRU14 lalu.

Perkembangan terbaharu ini juga seolah-olah memberi signal Umno tidak akan membiarkan PKR menang tanpa bertanding atau memberi peluang kepada Pas untuk merealisasikan impian mereka untuk bertanding satu lawan satu dalam PRK Sungai Kandis ini.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari ketika dihubungi Sinar Harian berkata, hanya mengesahkan senarai dan profil calon-calon untuk PRK Sungai Kandis sudah dihantar kepada pimpinan pusat untuk dipertimbangkan.

“Siapa calon atau berapa jumlah nama, saya tak boleh dedahkan. Tapi ia sudah dihantar untuk tindakan selanjutnya.

“Mohon tunggu keputusan MT Umno...Tak tahu Umno akan bertanding atau tidak. Kita tunggu arahan MT,” katanya.

Ketika ditanya apakah beliau juga salah seorang daripada senarai nama yang dihantar, Kamaruzzaman enggan mengulas lanjut.

Kamaruzzaman adalah calon PRU14 yang bertanding bagi Dun Sungai Kandis namun tewas dan memperoleh 11,518 undi.

Kerusi Dun Sungai Kandis (N49) dimenangi Shuhaimi Shafiei dengan jumlah undi 23,998 (majoriti 12,480) dan kerusi sama turut ditandingi Pas menerusi Mohd Yusof Abdullah yang mendapat 7,573 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin sebanyak 76 undi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato’ Onn,  Isnin lalu dilaporkan berkata, Pemuda Umno bersedia menggerakkan jentera sayap parti bagi menghadapi PRK Sungai Kandis nanti.

Bagaimanapun katanya,  pihaknya akan menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti, sama ada Umno akan meletakkan calon untuk bertanding atau tidak.

“Sama ada meletakkan calon dari Pemuda Umno atau tak, perkara itu juga perlu menunggu keputusan kepimpinan tertinggi dulu.

“Bagaimana mahu letak calon,  jika keputusan untuk bertanding atau tidak masih belum dibuat lagi, “katanya menegaskan Pemuda Umno akan menerima dan menghormati apa saja keputusan dibuat parti.

Katanya, jika Umno/BN membuat keputusan untuk bertanding, PRK Sungai Kandis akan jadi medan latihan dan ujian pertama bagi Pemuda Umno mengembalikan sokongan rakyat terutama generasi muda.