SHAH ALAM - PRK Sungai Kandis dilihat menjadi kayu pengukur buat Umno untuk menguji pengaruh parti itu dalam kalangan rakyat, selepas gagal mengekalkan tampuk pemerintahan negara pada PRU14 lalu.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ia menjadi medan pertama Umno untuk melihat sama ada parti itu masih relevan atau tidak, selepas parti itu tewas membentuk kerajaan.

Katanya, soal sama ada menang atau tidak bukanlah perkara pokok, sebaliknya penerimaan semula masyarakat adalah lebih utama.

"Pengundi Melayu banyak (di kawasan itu). Itu sebagai kayu ukuran untuk 'test market' (Umno di situ) pasal baru lepas pilihan raya umum.

"Menang atau tidak menang soal lain. Setakat ini, kita tahu pengundi masa pilihan raya umum lalu banyak sokong barisan pembangkang, namun dengan isu-isu yang ada hari ini, ia sebagai satu ukuran apakah Umno masih lagi relevan atau tidak," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang usul Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan agar Umno bertanding atas nama sendiri pada PRK Sungai Kandis.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis 4 Ogos: SPR]

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: Bertanding atas nama Umno bukan BN]

Ahmad Atory berkata, tidak menjadi masalah untuk Umno bertanding menggunakan nama dan logo partinya sendiri dalam PRK Sungai Kandis kerana kawasan itu majoritinya adalah Melayu.

"Namun, untuk pilihan raya umum akan datang, mereka (Umno) kena juga berbincang dengan rakan parti komponen (BN) lain sebab harus diingat untuk menang dalam mana-mana pertandingan pilihan raya, kehadiran atau penyertaan kaum bukan Melayu dan partu bukan Melayu juga perlu.

"Jika tidak, mereka tidak akan menang kalau mengharapkan undi Melayu sahaja," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon diadakan 21 Julai ini.