PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melantik enam organisasi terdiri daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati pada PRK Dun Sungai Kandis, 4 Ogos depan.

Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, SPR mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi dengan semua pemerhati dalam usaha untuk meningkatkan pemahaman mengenai proses pilihan raya di samping mendukung prinsip demokrasi negara ini.

“Untuk PRK Sungai Kandis, kita telah buat beberapa penambahbaikan antaranya adalah dengan menjemput agensi kerajaan dan NGO sebagai pemerhati,” katanya dalam Program Taklimat Pemerhati Pilihan Raya Bagi PRK Dun Sungai Kandis, hari ini.

Difahamkan, enam NGO yang dipilih tersebut adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bersih 2.0, Persatuan Orang Kota Bharu, Kelab Pemikir Politik Nasional dan Engage.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan itu, Mohamed Elias berkata, Suhakam, Bersih 2.0, Kelab Pemikir Politik Nasional dan Engage merupakan NGO baharu yang dipilih sebagai pemerhati manakala dua organisasi lain pula sudah terlibat aktif dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata program tersebut juga turut memberi penumpuan terhadap sistem pilihan raya, kod etika pemerhati dan undang-undang pilihan raya di negara ini.

“Jumlah keseluruhan pemerhati yang dipilih adalah seramai 69 orang meliputi enam organisasi.

“Adalah menjadi harapan SPR agar hubungan akrab bersama NGO ini dapat dijadikan platform untuk kita sama-sama menilai dan bantu-membantu untuk memastikan ketelusan dalam pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata pihaknya menyambut baik jemputan daripada SPR dalam usaha untuk menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Beliau berkata, keterbukaan SPR dalam fasa Malaysia baharu ini dapat memberi ruang yang lebih telus kepada NGO untuk memahami proses-proses pilihan raya.

“Inilah jalan yang terbaik untuk kita saling bantu-membantu dan memahami mengenai satu proses yang sangat kritikal dalam negara ini iaitu pilihan raya,” katanya.