KLANG - Harapan mengumumkan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) PKR Pusat, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon bagi gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis yang akan berlangsung pada 4 Ogos depan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Majlis Pelancaran Jentera PRK Dun Sungai Kandis yang berlansung di Padang Rakyat Kampung Jalan Kebun, sebentar tadi.

Sebelum ini, terdapat beberapa nama pemimpin PKR yang dikaitkan bagi mengisi kekosongan kerusi itu susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat penyakit kanser limfoma.

Malah, terdapat juga kain rentang yang diletakkan di sekitar Dun berkenaan yang menggesa agar Mohd Zawawi dipilih sebagai calon untuk mengisi kekosongan tersebut.

Pada PRU14 lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Antara pimpinan parti yang turut sama dalam majlis berkenaan adalah Pengarah Pilihan Raya PRK Sungai Kandis, Amirudin Shari, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengarah 2 PRK Sungai Kandis, Azmizam Zaman Huri, Adun Sentosa, G. Gunaraj, Adun Kota Kemuning, V. Ganabatirau dan Adun Taman Medan, Syamsul Firdaus.

Sementara itu, Mohd Zawawi turut memanjatkan rasa syukur di atas kepercayaan oleh pucuk pimpinan yang memilih beliau sebagai calon bagi kerusi tersebut.

"Saya harapkan agar rakan-rakan dapat  beri sokongan dan dokongan untuk pastikan kemenangan yang lebih cemerlang pada kali ini," katanya.

Di samping itu, Mohd Zawawi memaklumkan bahawa beliau akan melaksanakan perancangan secara bersama untuk membela nasib rakyat melibatkan isu masalah longkang, sampah dan lampu jalan tidak berfungsi.

Tambah beliau, pihaknya sememangnya tidak menyangka dengan pencalonan dan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti terhadapnya.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik demi pengundi-pengundi di Dun ini,"katanya.