KOTA BHARU - Pas berhasrat meletakkan calon sekiranya Umno tidak bertanding pada PRK Sungai Kandis, Ogos ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan melihat perkembangan semasa keperluan parti untuk menurunkan calon-calonnya pada PRK tersebut.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan. Kita harap Umno tidak sertai, maka Pas akan masuk bertanding,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan kuliah bertajuk Islam Meraikan Wanita sempena Kuliah Bulanan Wanita Negeri Kelantan di Balai Islam Lundang yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menolak andaian seolah-olah Pas menyerah kalah sebelum bertanding sebaliknya parti itu melihat kepada pengalaman PRU14 di kerusi tersebut.

“Soal letak calon tengok pada keperluan. Keputusan lalu (PRU14) Umno mendapat undian lebih banyak daripada Pas,” katanya.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Allahyarham memenangi kerusi tersebut selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: Pas bertanding jika dua penjuru]