KOTA BHARU - Semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada pemimpin atasan PH untuk memilih calon terbaik bagi PRK Dun Rantau.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, beliau tidak suka dengan spekulasi apatah lagi menimbulkan isu yang boleh menjejaskan parti.

Menurutnya, semua pihak perlu menunggu keputusan pucuk pimpinan dan bekerja memenangkan calon dalam PRK ini.

"PH mempunyai senarai kepimpinan yang berwibawa termasuklah cadangan daripada calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mana berhasrat meletakkan calon wanita di PRK ini.

"Kita tunggu sahaja dan sokong mana-mana calon yang akan diketengahkan kelak," katanya selepas merasmikan Kejohanan Seni Bela Diri Taekwondo MTA peringkat Negeri, di Majlis Daerah Ketereh, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Zuraidin Abdullah dan Pengarah Teknikal Kejohanan Persatuan Taekwondo Malaysia MTA, Grand Master Peter Kang Teong Kheng.

Dalam kejohanan itu, seramai 300 peserta bersaing merebut Piala YB Senator Radzi Jidin.