SHAH ALAM - PKR akui sukar membatalkan pencalonan Dr S Streram di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau secara etikanya sukar.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerusi itu pada awalnya memang diserahkan kepada Dr Streram pada PRU14 lalu namun dinafikan haknya untuk bertanding.

"Saya tidak boleh membuat keputusan muktamad, kena tunggu pandangan cabang, negeri dan pimpinan.

"Pendirian sayalah, susah sebab dia calon dan dinafikan dalam proses penipuan. Nak batalkan pencalonan dia bagi saya secara etikanya sukar," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan di Kongres Nasional PKR ke-13, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Anwar berkata pihaknya akan meneliti dan mendengar pandangan daripada semua pihak terlebih dahulu sebelum memutuskan calon yang akan bertanding.

“Kita kena fahan bahawa PKR adalah satu-satunya wadah yang diterima oleh masyarakat India dan ahli daripada kaum ini sangat tinggi.

“Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan (tentang calon) kerana saya tak sanggup sia-siakan harapan mereka (golongan India). Parti ini akan adil pada semua,”katanya.

Sebelum ini, mahkamah Khas Pilihan Raya  memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dun Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April lepas kerana  tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK Dun itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.