SHAH ALAM - BN tidak perlu bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal meletakkan jawatan, hari ini.

Menyifatkan ia sebagai buang masa dan menghabiskan boreh (beras),  Ketua Pemuda Umno Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, tindakan Danyal tersebut seolah-olah mempermainkan undi rakyat.

"Ini kerana PRK Port Dickson bukan disebabkan wakil rakyat meninggal dunia tetapi saja-saja letak jawatan,'" katanya.

Menurutnya, BN hanya perlu membiarkan PKR menang percuma dengan menanti drama berepisod yang akan datang antara Anwar dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Anwar pernah berkata beliau sanggup menyokong pembangkang untuk semak dan seimbang sekiranya berlaku kelemahan terhadap pentadbiran Mahathir, maka ,sewajarnya BN memberikan peluang kepadanya," katanya.

Beliau berkata, pilihanraya di Port Dickson  tidak memberi sebarang keuntungan kepada BN.

"Berdasarkan track record tiga PRK sebelum ini,  ia tidak memihak kepada BN dan sentimen rakyat masih belum berubah.

Biarlah Anwar bertanding, BN tidak perlu menghabiskan masa, wang dan tenaga demi cita-cita Anwar itu," katanya.

Nazir berkata, tindakan ahli parlimen mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pemimpin parti bukanlah perkara baharu dalam PKR.

"Langkah Kajang sebelum ini menyaksikan seorang wakil rakyat turut  letak jawatan untuk memberi laluan kepada isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Ismail agar diangkat sebagai Menteri Besar Selangor namun ia tidak kesampaian," katanya.

Katanya, Langkah PD ibarat 'do or die' kepada Anwar.

"Jika beliau gagal, bukan sahaja harapan untuk menjadi Ahli Parlimen gagal malah cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri juga berkecai.

"Mahu atau tidak, Anwar perlu menang," katanya.