SEREMBAN - Pas akan memutuskan sama ada akan meletakkan calon  pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.  

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun berkata, perkara itu akan dibincangkan secara  terperinci ketika Muktamar Pas ke-64 yang menghimpunkan lebih 1,200 perwakilan daripada seluruh negara di Kuala Terengganu, Sabtu dan Ahad ini.

“Kita tengok dahulu (perjalanan) mesyuarat Pas Pusat bagaimana (di Kuala Terengganu) dan daripada situ kita akan putuskan sama ada bertanding atau pun tidak.

“Jika Pusat putuskan untuk meletakkan calon, maka kita akan bertanding.

“Bagaimanapun kita juga akan berunding dengan parti pembangkang yang lain seperti mana yang diguna pakai ketika PRK Dun Seri Setia, Balakong dan Sungai Kandis (kesemuanya di Selangor) baru-baru ini,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi kawasan berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, melepaskan jawatan itu hari ini bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim  bertanding untuk menyertai kembali Parlimen dan seterusnya membolehkan beliau menjadi perdana menteri kelapan.